LUMUT: Seorang kaki pancing dikhuatiri hilang di laut ketika keluar memancing bersama lapan rakan lain dalam kejadian tengah hari semalam.

Mangsa, Khairul Hafni Ahmad Ghani,32, dikatakan hilang kira-kira tujuh batu nautika selatan Pulau Pangkor lebih kurang jam 12 tengah hari semalam.

Menurut kenyataan Maritim daerah tiga Lumut, apabila menerima maklumat berkenaan kejadian itu pihaknya segera ke tempat kejadian.

Pengarahnya, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata, pihaknya mengaktifkan misi pencarian pada jam 1.45 petang setelah menerima maklumat berkenaan kejadian itu.

“Berdasarkan cerita rakan yang bersama mangsa,ketika itu cuaca kurang baik di mana berlakunya ribut dan angin kuat.

“Rakan mangsa yang lain berada di kabin manakala mangsa berada di luar dan dipercayai terjatuh ke dalam laut,” katanya.

Katanya,operasi diteruskan hingga jam 7.30 malam semalam dan disambung semula jam 7 pagi tadi. – Sinar Harian Online