JASIN: Selepas lebih 15 jam dilaporkan hilang akibat dihanyutkan arus deras, mayat seorang pemancing ditemui pada jarak kira-kira satu kilometer dari sebuah kelong di Jeti Sempang, Merlimau di sini hari ini.

Mayat mangsa, Muhammad Rashid Mokhtar, 45, ditemui terapung berhampiran kawasan paya bakau oleh nelayan, jam 11.30 pagi tadi sebelum dimaklumkan kepada bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau, Penolong Penguasa Bomba Suboh Manap berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.37 petang semalam sebelum sepasukan 20 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa dikatakan lemas ketika terjun ke laut untuk menyelamatkan sebuah bot yang dihanyutkan arus.

“Operasi mencari dan menyelamat dijalankan semalam dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Bagaimanapun, operasi terpaksa dihentikan jam 8 malam kerana faktor cuaca dan disambung semula jam 8 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, ketika kejadian jam 4.45 petang semalam itu, mangsa dikatakan cuba menyelamatkan bot dinaiki bersama rakannya yang dihanyutkan sebelum hilang dibawa arus deras.

Sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya yang berusia 20-an dikatakan memancing di dalam bot dan tiba-tiba seorang daripada mereka mengadu pening kerana mabuk laut, sebelum kedua-duanya naik berehat di atas kelong berhampiran – berita harian