IPOH: Mangsa yang cedera parah dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Ahad lalu, meninggal dunia petang Selasa.

Menurut polis, Azizan Desa, 60 meninggal dunia di Hospital Taiping kira-kira jam 6.45 petang dan bedah siasat dijalankan pada jam 9.30 malam.

Kematian Azizan menjadikan jumlah mangsa maut dalam kemalangan Ahad lepas kepada lima.

BERITA TERDAHULU : empat maut tiga kenderaan bertembung

Dalam kemalangan di Kilometer 45.4 JRTB yang melibatkan tiga kenderaan pada 18 Februari, isteri Azizan, Wan Teh Abdul Aziz, 54 dan anak bongsu mereka, Muhammad Khairul Khawrizmie, 17, maut.

Dua lagi mangsa yang merupakan penumpang kenderaan Kelisa turut maut di tempat kejadian.

Seorang lagi anak mereka, Nurul Khairulnissa, 19 yang turut menaiki kereta Audi yang dipandu Azizan untuk menghadiri kenduri kahwin di Kelantan, hanya mengalami cedera ringan.

Jenazah Wan Teh dan Muhammad Khairul Khawrizmie  telah dituntut keluarga pada malam kejadian dan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Taman Kelisa Ria, Sungai Petani, Kedah.