KAMPAR: Seorang pemandu bas ekspres mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang penumpang bas itu dalam satu kemalangan jalan raya semalam.

Tertuduh, N. Shasikumar, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.

Shasikumar didakwa memandu kenderaan tersebut di jalan raya secara melulu sehingga menyebabkan kematian Chan Kwai Fah, 43, di KM 294.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Kampar, kira-kira jam 5.45 pagi semalam.

Tertuduh menghadapi pertuduhan itu di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun serta denda RM5,000 hingga RM20,000 jika disabitkan kesalahan.

Kes terhadap Shasikumar dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Oon Kork Chern manakala tertuduh diwakili Nurafiqah Abd Aziz daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.