IPOH: Seorang pemandu bas ekspres yang dituduh cuai memandu sehingga melanggar sembilan buah kenderaan semasa menuruni bukit selepas Terowong Menora dekat sini pada 10 Julai lalu didenda RM8,000 oleh Mahkamah Khas Trafik di sini pada Rabu.

Majistret Siti Hanum Mohmad Shah menetapkan demikian selepas tertuduh, Kadershah Sabaruddin, 51, menukar pengakuan kepada bersalah dalam sebutan kes hari ini.

Siti Hanum turut menetapkan hukuman lapan bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut, selain memerintahkan butiran sabitan itu direkodkan dalam lesen memandu tertuduh mengikut Seksyen 43(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mahkamah menjatuhkan hukuman selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah ketika kes berkenaan disebut semula dalam mahkamah.

Pada 14 November lalu, Kadershah mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu ketika memandu bas dengan nombor pendaftaran BLB 6936 di Kilometer 265.8 PLUS arah selatan, berhampiran Terowong Menora pada jam 2.45 petang, 10 Julai.

Kadershah didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang boleh dihukum denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum 12 bulan.

Pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Jasli Mohd Yusoff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.