GERIK – Seorang pemandu bas eks­pres maut, manakala empat yang lain cedera termasuk seorang parah dalam kemala­ngan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 32.8, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli di sini hari ini.

Nahas pada pu­kul 1.50 pa­gi itu mengorbankan Mohd. Azi­zi Abdul Ghani, 37, dari Kuala Terengganu yang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Kemalangan tersebut turut me­nyebabkan dua penumpang wanita berusia 28 dan 23 tahun cedera, manakala pemandu dan kelindan lori muatan habuk kayu, masing-masing cedera ringan dan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Pe­nguatkuasaan Trafik (JSPT) ne­geri, Superintenden Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian melibatkan bas ekspres membawa 30 penumpang, treler muatan dawai besi dan lori membawa habuk kayu.

Menurutnya, kemalangan bermula apabila bas ekspres tersebut cuba memotong treler di hadapannya semasa sampai di jalan berselekoh, namun bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, bas tersebut telah terlanggar bahagian hadapan se­belah kanan lori tersebut sebelum menghimpit treler dipandu lelaki berusia 63 tahun. Akibat rempuhan tersebut, pemandu bas ce­dera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Tambah Ahmad Adnan, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan siasatan kes dibuat mengikut Sek­syen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – utusan