BATU GAJAH – Pemandu bas yang maut dalam kemalangan bas ekspres dua tingkat yang terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Jalan Ipoh – Lumut dekat sini semalam mempunyai rekod lampau melibatkan kemalangan bas.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Supt Ahmad Adnan Basri, bagaimanapun berkata kesalahan trafik tersebut adalah kemalangan biasa.

“Mengikut rekod semakan saman trafik, pemandu yang terlibat mempunyai dua kesalahan lalu melibatkan kemalangan bas iaitu kemalangan biasa sahaja,” katanya ketika diminta mengulas kemalangan bas ekspress yang membawa 36 penumpang dengan dua maut, tiga cedera parah dan 12 cedera ringan berhampiran Batu Gajah Perdana awal pagi Ahad.

Kejadian yang berlaku pada 5 pagi itu menyebabkan kematian pemandu Mohamad Azizul Che Aziz dan seorang pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Munzirah Jalaludin.

Ahmad Adnan berkata polis juga sedang melakukan siasatan bagi mengesahkan dakwaan bahawa bas telah dipandu laju semasa kejadian.

merakam percakapan seramai 36 orang penumpang dan siasatan masih diteruskan selain mendapatkan laporan dari syarikat bas tersebut.

“Daripada 38 orang, dua meninggal, 35 cedera dan seorang tidak mengalami sebarang kecederaan, kita sedang dapatkan laporan dari syarikat untuk dapatkan rekod-rekod perjalanan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) berkenaan dengan bas yang terlibat untuk kita kesan dari segi kelajuan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata rempuhan sembilan bongkah batu pembahagi jalan di bahagian hadapan bas menjadi penyebab kepada kematian pemandu dan pelajar berkenaan.

Hasil siasatan mendapati bas dua tingkat itu bertolak dari Bachok ke Kota Bahru, Kelantan sebelum berhenti di Grik pada jam 2 pagi untuk berehat dan bertukar pemandu.

“Tinggi bongkah batu itu 97cm dan lebar 60cmx100cm, dianggarkan berat padu bongkah batu itu satu tan menyebabkan bas ini telah mengalami kesan remukan yang teruk di bahagian depan

“Batu-batu bongkah ini terpelanting masuk ke dalam bas dan menyebabkan kematian kepada pemandu bas itu sendiri dan seorang pelajar UiTM yang duduk di bahagian tengah,” katanya ketika menunjukkan lokasi kejadian kepada pemberita di Batu Gajah pada Isnin.

Dalam pada itu, Adnan menjelaskan seorang lagi pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan disebabkan beliau berada di bilik rehat ketika kejadian berlaku.

“Kedudukan pemandu yang bertukar pemanduan di Grik, tidak mengalami sebarang kecederaan kerana berada di bilik rehat, di belakang tempat duduk pemandu,” ujar Adnan.

Bongkah batu yang menyebabkan pelanggaran itu diletakkan di jalan tersebut untuk mengelakkan kenderaan dari membuat pusingan U atau melintas ke laluan bersebelahan yang membahayakan pengguna jalan raya lain.

Bas tersebut mengikut perjalanan dari Bachok-Kota Bahru-Grik sebelum meneruskan perjalanan mengikut jalan lama ke Kuala Kangsar -Sungai Siput dan menurunkan 6 orang penumpang di Terminal Bas Amanjaya, Ipoh.