IPOH: Pemandu bas berusia 51 tahun dihadapkan ke Mahkamah Khas Trafik Ipoh atas tuduhan memandu dengan tidak cermat dan berhati-hati sehingga menyebab kemalangan membabitkan 10 buah kenderaan dekat Terowong Menora, Ipoh pada Julai lalu.

Kadershah Sabaruddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibacarakan ketika tuduhan dibacakan di hadapan majistret Siti Hanum Mohmad Sah pada Isnin.

Mengikut kertas pertuduhan, Kadershah sebagai seorang pemandu bas ekspress dengan nombor pendaftaran BLB 6936 telah di dapati memandu kenderaan tersebut dengan tidak cermat dan berhati-hati semasa berada atas jalan raya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di KM265.8 Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS) pada 10 Julai lalu sekitar jam 2.45 petang.

Dakwaan terhadap tertuduh itu telah dikemukakan mengikut Seksyen 43(1)1 Akta pengangkutan Jalan 1987 (pindaan) 1999 yang memperuntukkan denda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak melebihi RM10,000 dan boleh dpenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Kelvin Meng telah menawarkan jaminan RM5,000 ke atas tertuduh namun Kadershah merayu agar jumlah itu dikurangkan atas alasan tidak bekerja dan mempunyai tiga tanggungan.

Siti Hanum kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 4 Januari 2017.

Dalam kejadian 10 Jula, satu kemalangan telah dilaporkan di Lebuh Raya PLUS berdekatan terowong Menora, membabitkan sebuah bas dan 10 buah kenderaan.

Berdasarkan video yang tersebar di media sosial dan Whatsapp, bas itu kelihatan meluncur laju dari Terowong Menora sebelum merempuh beberapa kenderaan dari belakang.