MANJUNG – Kurang sambutan serta penumpang yang menggunakan bas Rapid Manjung antara faktor perkhidmatan bas itu diberhentikan sementara bermula 1 Ogos depan.

Pemandu yang ingin dikenali sebagai Zul, 30-an, berkata, pengurusan sepatutnya melakukan tinjauan dengan pemandu atau penumpang untuk menambah baik perkhidmatan dan bukan menutupnya sementara.

“Kebanyakan penumpang yang menaiki bas ini mengatakan bahawa kenapa bas Rapid hanya berada di bandar sahaja sedangkan di bandar ini orang ramai menggunakan kereta dan mereka tak naik bas.

“Kawasan-kawasan berhampiran Manjung sepatutnya menjadi laluan utama bas Rapid untuk mengambil dan menurunkan penumpang yang sememangnya kenderaan awam adalah antara pengangkutan utama mereka,” katanya kepada pemberita.

Menurut Zul lagi, laluan seperti Manjung-Lekir, Manjung-Pantai Remis dan Manjung-Ayer Tawar sepatutnya menjadi laluan utama bas tersebut kerana permintaan dari kawasan-kawasan berkenaan amat tinggi.

“Saya harap pihak pengurusan dapat melihat perkara ini dengan lebih serius bagi memastikan perkhidmatan Rapid Manjung dapat diteruskan dan tidak dihentikan,” katanya.

Ketika ditanya perkara yang akan berlaku kepada pemandu bas sekiranya perkhidmatan ditutup, Zul memaklumkan mereka semua kemungkinan akan hilang punca pendapatan.

“Terdapat 15 pemandu bas Rapid Manjung dan sekiranya ia tidak beroperasi kami mungkin akan dipindahkan di mana-mana negeri yang ada perkhidmatan bas Rapid.

“Sudah pasti ini akan menyukarkan kami lagi kerana ada yang sudah berkeluarga dan menetap di sini, dan jika dipindahkan ia akan menyukarkan urusan keluarga kami,” katanya.

Katanya lagi semua pemandu berharap agar pihak terlibat sama ada pengurusan mahupun kerajaan negeri sedia ada membantu mereka serta mengekalkan perkhidmatan Rapid Manjung untuk kegunaan ramai.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, pihaknya tidak menerima maklumat berkaitan namun perkara itu akan dibincangkan dengan pihak terbabit dalam masa terdekat.

“Tunggu saya akan bermesyuarat dengan mereka terdekat ini,” jawabnya ringkas – sinar