IPOH – Seorang pemandu, rakan sekerja dan penumpang bas ekpress nyaris maut apabila kenderaan mereka terbakar dalam satu kejadian di KM270 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat Meru awal pagi tadi.

Penolong Penguasa Bomba Mohammad Shaznil Abd Thoher berkata kesemua mereka dalam perjalanan ke arah selatan apabila kejadian berlaku.

Menurutnya Balai Bomba dan Penyelamat Meru menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.35 pagi.

“Bomba dimaklumkan pemandu bas ekspres Grass Land ternampak api di tayar bahagian belakang bas semasa memandu.

“Beliau memberhentikan bas dengan segera dan cuba memadamkan api dengan menggunakan pemadam api yang disediakan di dalam bas, namun gagal mengawal api dari merebak.

“Penumpang telah diminta turun dengan barang-barang mereka. Syarikat bas telah menyediakan bas gantian bagi membawa penumpang ke destinasi mereka,” ujar beliau ketika dihubungi.

Mohammad Shaznil berkata sebaik tiba di lokasi, didapai bas tersebut telah terbakar sebanyak 80 peratus.

Katanya anggota bertindak membuat pemadaman menggunakan dua aliran hos bersumberkan air dari tangki daripada dua jentera fire sehingga api dipadamkan sepenuhnya.

“Seramai lapan orang anggota dikerahkan ke tempat kejadian termasuk seorang ketua operasi iaitu Pegawai Bomba Kanan II Rosdi Mohd Radzi.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.10 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” tambah beliau