KOTA KINABALU: Pemandu Grab yang dilaporkan hilang sejak kelmarin, ditemui meninggal dunia dalam kereta miliknya lewat petang semalam.

Mangsa, Ahmad Nasip@Nor Ahmad Nasib, 54, dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anak lelaki mangsa di tempat letak kereta belakang kedai di Lintas Jaya, Kepayan, pada jam 4.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata anak mangsa yang juga pemandu Grab pergi lokasi berkenaan selepas mendapat maklumat daripada rakan pemandu Grab yang lain berkaitan tempat ayahnya sering berehat.

“Setibanya di tempat dimaklumkan, anak mangsa mendapati ayahnya berada di tempat duduk pemandu dalam kereta Proton Saga FLX yang sering digunakan dalam keadaan enjin kereta dimatikan namun tidak sedarkan diri.

“Selepas menyedari mangsa tidak sedarkan diri, anak mangsa terus menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan.

“Setibanya pegawai perubatan Hopistal Queen Elizabeth (QEH) d lokasi kejadian, mangsa disahkan sudah meninggal dunia namun punca kematian tidak diketahui,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Habibi berkata, siasatan awal mendapati mangsa keluar dari rumahnya yang beralamat di Taman Perumahan Pengalat Besar, Papar pada 1 Disember lalui kira-kira jam 5 pagi bagi mendapatkan penumpang.

Katanya, bagaimanapun mangsa didapati tidak pulang ke rumah sejak dari masa keluar rumah sehinggalah anak perempuan mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar mengenai kehilangan bapanya.

Habibi berkata, pihak polis juga melakukan siasatan luaran badan mangsa tetapi tidak menjumpai sebarang unsur jenayah selain tiada kecederaan pada badan mangsa.

Kes diklafikasi sebagai mati mengejut dan mangsa di hantar ke jabatan forensik QEH untuk bedah siasatan bagi mengenal pasti punca kematian – berita harian