GEORGETOWN: Polis berjaya mengenal pasti pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih yang terhumban ke dalam laut berikutan kemalangan di Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata mangsa dikenal pasti sebagai Moey Yun Peng, 20, penuntut kolej swasta di negeri itu.

“Identiti pemandu dikenal pasti melalui laporan berkaitan orang hilang dibuat seorang lelaki jam 5 petang tadi yang mendakwa mangsa adalah anak lelakinya dan dipercayai memandu SUV terbabit.

“Ayah mangsa menegaskan menerima makluman berkenaan kejadian ini melalui rakan anak lelakinya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi tadi, kereta terbabit dipercayai terhumban ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan dengan kereta jenis Toyota Vios, ketika dalam perjalanan dari Georgetown menghala ke Seberang Perai.

Pemandu kenderaan Toyota Vios dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ)

Beliau berkata, tiga saksi bebas dan dua rakan Yun Peng juga sudah tampil membantu siasatan kes terbabit dengan rakaman percakapan sudah dijalankan ke atas semua mereka.

“Kita sudah rekod lima kenyataan dan rakan mangsa memaklumkan kejadian terbabit berlaku ketika mangsa pulang daripada majlis sambutan hari lahir.

“Saksi bebas juga sudah menyerahkan rakaman dashcam direkod menerusi kamera dalam kenderaannya bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 ,” katanya – berita harian