BAGAN SERAI: Seorang lelaki maut dipercayai lemas selepas kereta dipandunya terbabas dan terhumban ke dalam parit di Jalan Batu 8, berhampiran Rumah Pam Kerian, Sungai Bogak, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa Muhammad Amirul Hasnor Hassan, 25, yang memandu kereta jenis Honda Civic, dikatakan terperangkap di dalam kenderaannya dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan selepas mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan itu oleh anggota bomba.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Nasrizal Safila Abu Samad, berkata sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan pada jam 2.17 pagi.

Katanya, anggota yang tiba di lokasi pihaknya mendapati kereta yang terhumban ke dalam parit itu dalam keadaan terbalik dengan hanya dua tayar belakang dan penutup tangki kereta kelihatan manakala selebihnya berada di dalam air.

“Pihak bomba dimaklumkan terdapat mangsa di dalam kenderaan itu dan kami terpaksa menariknya menggunakan kabel dari jentera kerana pintu kenderaan berkenaan tidak dapat dibuka akibat tekanan arus deras parit di situ.

“Sejurus kenderaan dinaikkan, anggota segera mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bahagian tempat duduk pemandu tanpa menggunakan sebarang peralatan khas.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dihubungi NSTP pagi tadi.

Beliau berkata, operasi tamat pada jam 3.18 pagi – berita harian