Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seorang pemandu lori ais dan dua penunggang motosikal merupakan antara tiga yang ditahan positif dadah dalam Ops Selamat Hari Raya Aidilfitri di Jalan Jelapang-Chemor berhampiran Terminal Amanjaya Meru, dekat sini petang Khamis.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan,yang berusia di antara 24 hingga 30 tahun didapati positif dadah jenis morfin dan tetrahydrocannabinol (THC) dalam operasi khas yang berlangsung selama empat jam bermula dari 12 tengah hari itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik Perak, Superitendan Adnan Ahmad Basri berkata operasi tersebut turut disertai Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) negeri.

“Ketiga-tiga lelaki tersebut ditahan oleh pihak AADK dan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Dadah 1983,”katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Adnan berkata pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 170 saman melibatkan pelbagai kenderaan.

“Sebanyak 83 buah bas, 56 lori, 88 kenderaan persendirian,25 kenderaan komersial, dan 73 motosikal diperiksa dalam Ops Selamat ini menjadikannya sebanyak 325 secara keseluruhan.

“Daripada jumlah itu, 170 buah kenderaan pelbagai jenis disaman melibatkan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, perlanggaran teknikal seperti ubahsuai struktur, lampu merah, tayar dan lampu brek,”katanya lagi.

Katanya, pihaknya turut menahan seorang pemandu yang bertindak menggunakan lesen kenderaan motor (roadtax) daripada kenderaan lain.

“Pemandu yang berasal dari Ipoh dan menggunakan kenderaan Proton Waja itu didapati bertindak menggunakan LKM kenderaan lain dan akan disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalam 1987,”ujarnya.