Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAPAH: Polis akan menjadikan keterangan daripada pemandu Proton Iswara yang terlibat dalam kemalangan meragut sembilan nyawa di Jalan Air Kuning-Mambang Di Awan sebagai laporan saksi pertama.

Sebelum ini, polis mengesahkan pemandu lori ais yang terlibat dalam nahas yang melibatkan kematian sembilan penumpang van pekerja pada pagi Sabtu lalu, terlebih dahulu melanggar sebuah kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak a/l Din Keliaw berkata saksi tersebut dikesan setelah pegawai penyiasat melawat semula tempat kejadian dan menjumpai sebuah nombor plat kenderaan milik Proton Iswara.

Tambahnya, nombor plat kenderaan pemilik Proton Iswara itu ditemui di dalam semak berhampiran longkang di lokasi kejadian.

Jelasnya, lelaki berusia 47 tahun yang berasal dari Langkap ketika ditemui oleh pegawai penyiasat mengakui bahawa dia enggan membuat laporan polis kerana takut dengan ketiadaan cukai jalan dan lesen memandu.

“Lelaki itu, iaitu saksi, memberitahu bahawa dia dalam perjalanan ke pasar sewaktu kejadian sebelum lori ais berkenaan melanggar bahagian tepi kanan belakang kenderaannya dan menyebabkan Proton Iswara miliknya berpusing dua kali.

“Selepas itu, lelaki berkenaan nampak lori ais berkenaan telah melanggar van yang membawa sembilan orang itu secara laju, dan merempuh kesemua penumpang dan pemandu.

“Jarak di antara pemandu Iswara dengan van adalah dalam 10 meter dan beliau telah keluar melihat kemalangan itu sebelum bertindak membawa keretanya bersembunyi di rumah,”katanya kepada pemberita di IPD Tapah, di sini hari ini.

Katanya, lelaki berkenaan telah datang ke Pejabat Trafik IPD Tapah untuk menyerahkan keterangan sekitar pukul 1 pagi Ahad dan percakapan beliau telah dirakam.

Som Sak berkata tindakan bijak pegawai penyiasat itu telah membantu mendapatkan saksi pertama bagi insiden tragis yang meragut sembilan nyawa dalam kejadian pada awal pagi Sabtu itu.

Tambahnya, siasatan awal mendapati pemandu lori ais berusia 22 tahun itu mempunyai empat saman dalam tempoh 2013 hingga 2015 sebelum ini dan baru bekerja tidak lebih daripada sebulan sebagai pemandu lori.

“Makluman awal daripada Hospital Ipoh mendapati beliau tidak mengalami kecederaan parah cuma ada luka di bahagian kaki dan kepala, dan kami telah menahan beliau bagi siasatan lanjut.

“Sampel darah telah diambil dan dihantar ke ujian dan kita juga telah mengeluarkan saman bagi pemandu Proton Iswara berkenaan,”katanya lagi.