BUKIT MERTAJAM: Seorang pemandu lori hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, atas tuduhan membunuh seorang bayi perempuan minggu lalu.

Tertuduh, Muhamad Firdaus Saidon, 22, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhamad Firdaus didakwa menyebabkan kematian seorang bayi perempuan yang dikenali dengan nama Nurul Ain Umairah Muhammad, yang masih belum berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dan lahir pada 30 Disember lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah, jam 10.45 pagi pada 15 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, Muhamad Firdaus didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum gantung sampai mati jika bersabit kesalahan.

Muhamad Anas kemudian menetapkan 19 April ini bagi tarikh sebutan semula kes dan penyerahan laporan kimia serta forensik.

Pendakwaan dikendalikan Hamzah Azhan manakala Muhamad Firdaus tidak diwakili peguam. Dalam kejadian Khamis lalu, Nurul Ain Umairah maut disyaki akibat didera ibu bapanya.

Laporan bedah siasat mendapati anak bongsu dari dua beradik itu maut akibat pendarahan otak, patah kedua-dua belah rusuk, selain terdapat kesan lebam, calar dan gigitan pada seluruh anggota badan.

Susulan itu, polis menahan reman kedua ibu bapanya selama seminggu bagi membantu siasatan. Bagaimanapun, ibu mangsa yang berumur 22 tahun dibebaskan hari ini dan menjadi saksi pihak pendakwaan – berita harian