PEMANDU lori berusia 24 tahun ditahan reman selama tiga hari bermula, hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes kemalangan maut mengorbankan tiga beradik termasuk kembar di Lenggong, semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, penahanan itu dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut termasuk dakwaan brek lori gagal berfungsi hingga menyebabkan rempuhan berlaku.

Menurutnya, polis telah mengambil keterangan lelaki yang beralamat dari Sungai Besar, Selangor itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis akan menyiasat dari semua aspek termasuk ada yang mendakwa brek lori itu gagal berfungsi lalu menyebabkan kenderaan itu merempuh kereta lain yang berhenti di lampu isyarat.

“Buat masa ini, polis masih menyiasat sama ada lori itu benar-benar mengalami masalah brek seperti didakwa,” katanya.

Ismail berkata, bapa mangsa yang menerima rawatan lanjut di Hospital Taiping masih berada dalam keadaan kritikal.

Kejadian itu berlaku ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Terengganu ke Kuala Kangsar untuk menghabiskan cuti sekolah.

-SinarHarian