PEMANDU lori ditahan di kawasan sebuah pangsapuri di Taman Melati, Wangsa Maju, Kuala Lumpur kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah pada 1 pagi tadi.

Pemeriksaan polis mendapati lelaki, 29, terbabit memiliki dadah disyaki jenis methaphetamin dianggarkan seberat 52.33 gram dengan nilai RM4,000.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJND) Wangsa Maju untuk pemeriksaan berdasarkan maklumat.

“Suspek yang menunggang motosikal di kawasan pangsapuri itu disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah ditahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan anggota polis merampas empat peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis methamphetamin dengan anggaran berat 52.33 gram dan wang tunai RM121 pada poket kanan hadapan seluar suspek untuk siasatan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan identiti mendapati suspek bekerja sebagai pemandu lori dan berasal Seri Kembangan, Selangor.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah.

“Bagaimanapun, saringan ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah,” katanya – hmetro