SLIM RIVER– Seorang pemandu lori kontena maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer (Km) 362 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan, di sini pada Jumaat.

Menurut jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP), kemalangan itu melibatkan lori kontena, lori lima tan dan sebuah pacuan empat roda Peronda PLUS.

“BBP Slim River menerima panggilan pada jam 7.32 pagi yang melibatkan enam mangsa kesemuanya.

“Tiga mangsa dari lori lima tan tercampak keluar dan mengalami kecederaan manakala dua lagi mangsa lelaki dewasa dari kenderaan Peronda PLUS turut cedera di lokasi kejadian.

“Pemandu lori kontena tersepit dan disahkan maut oleh pihak perubatan,”katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan “power unit” dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Kerja-kerja pengalihan lori kontena dan lori lima tan tersebut dialihkan dengan bantuan dua buah kren kontraktor PLUS.

Operasi menyelamat tamat pada jam 11.31 pagi.