SHAH ALAM: Seorang pemandu lori maut selepas muatan kontena yang dibawanya terbalik sebelum menghempap bahagian hadapan lori berkenaan di pekarangan sebuah kilang, hari ini.

Dalam kejadian di Jalan SU 8, Taman Perindustrian Subang Utama kira-kira jam 12 tengah hari itu, pemandu lori, Suady Anuar, 38, meninggal dunia di lokasi akibat parah pada kepala dan anggota badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Azmel Kamarudin, berkata sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 12.56 tengah hari.

Katanya, mangsa dipercayai terperangkap di bahagian ‘kepala lori’ itu akibat dihempap kontena sepanjang kira-kira 12 meter.

“Pihak syarikat terpaksa menggunakan kren untuk membantu mengangkat kontena berkenaan.

“Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam bahagian hadapan lori,” katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Azmel berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang turut berada di lokasi kejadian.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat dan kes diserahkan kepada pihak polis – berita harian