JERANTUT: Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar pokok tumbang dalam kejadian di Kilometer 12 Jalan Jerantut-FELDA Padang Piol berhampiran Kampung Paya Garuk, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa, Mohd Tamezi Ariffin, 48, yang berasal dari Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Mat Kilau 2, di sini meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan ke tempat kerjanya di bandar Jerantut.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, sebatang pokok tumbang di hadapannya dan mangsa tidak sempat mengelak sebelum melanggar pokok berkenaan.

“Mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori mengalami parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jerantut untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa untuk proses pengebumian.

Mazlan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, calon Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak yang kebetulan melalui tempat kejadian turut bersimpati dengan kejadian itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa – berita harian