PARIT:Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Parit atas pertuduhan memandu lori secara melulu sehingga menyebabkan kematian pegawai khas Perak, isteri dan adiknya, 13 Dis lepas.

Tertuduh Syakirul Nazif Amrah, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Majistret Mohd Fitri Sadarudin.

Syakirul Nazif didakwa memandu kenderaan itu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Ahmad Nor Al-Zaidin Ahmad Azzudin, 35, isteri, Nor Haslina Abdul Razak, 27, dan adiknya, Nor Azira Ahmad Azzudin, 24, di KM35 Jalan Bota Kanan-Teluk Intan, kira-kira jam 6.30 pagi.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000.

Harbans Kaur dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu agar mahkamah mengenakan jaminan RM2,000 kerana anak guamnya hanya memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan selain perlu menanggung ibu serta seorang adiknya.

Mohd Fitri kemudian memutuskan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin manakala lesen memandu tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 17 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Media pada 13 Dis lalu melaporkan, ketiga-tiga mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Saga meninggal dunia di tempat kejadian selepas bertembung dengan lori dari arah bertentangan sebelum terhumban ke dalam tali air berhampiran.

Ahmad Nor Al-Zaidin yang merupakan pegawai khas kepada Exco Kerajaan Negeri yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Manik Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan isteri meninggalkan seorang anak perempuan tunggal berusia 4 tahun.