TAPAH: Empat cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan sebuah bas ekspres di Kilometer 328.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara, dekat sini, petang tadi.

Dalam nahas pada jam 3.40 petang itu, Ng Hoi Pin, 62, yang memandu lori membawa muatan plastik parah pada kepala dan kaki apabila kenderaan itu terbalik sebelum dirempuh bas berkenaan.

Pemandu bas berusia 25 tahun dan dua penumpang yang belum dikenal pasti identiti mereka, cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri, berkata siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki warga emas itu dan bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke utara.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, tayar lori berkenaan pecah dan kenderaan itu hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik.

“Pada masa sama, bas yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu merempuh lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, pemandu lori berkenaan dibawa ke Hospital Tapah sebelum dipindahkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk rawatan lanjut.

“Pemandu bas dan dua penumpang hanya cedera ringan dan tidak menerima rawatan di hospital. Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya – berita harian