Ranau: Mayat pemandu lori membawa muatan sawit ditemui rentung di bawah timbunan kenderaan berat terbabit yang terjunam ke gaung sedalam kira-kira 90 meter sebelum terbakar di Jalan Ranau-Telupid di Kampung Nabutan, Ranau di sini, semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, pihaknya mengeluarkan mayat mangsa yang belum dikenal pasti identiti selepas kerja-kerja mengalihkan lori terbabit dilakukan.

“Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan jam 1 tengah hari,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian jam 6.40 pagi, mangsa yang memandu berseorangan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Jimmy Lagung berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 6.43 pagi, enam anggota dan sebuah jentera bergegas ke lokasi.

Ketika itu, mangsa gagal ditemui walaupun usaha mengesannya dilakukan di sekitar lokasi kejadian – metro