IPOH: Seorang pemandu lori meninggal dunia akibat serangan jantung sebelum kenderaan berat membawa muatan simen yang dikendalinya terbabas lalu merempuh pokok di Jalan Kuala Kangsar, dekat sini, pada pagi Ahad.

Kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku berhampiran Balai Polis Khantan, di sini.

Mangsa, A Bashkar, 55, yang beralamat di Taman Sentosa, Sungai Siput, meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Siput menghala ke Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan tersebut.

Katanya, hasil bedah siasat ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), mengesahkan pemandu berkenaan mengalami serangan jantung.

Menurutnya, tiada siasatan kemalangan dilakukan dan kes berkenaan diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).