SLIM RIVER: Seorang pemandu lori tangki minyak maut terbakar dalam satu kemalangan membabitkan tiga lori di Kilometer 372 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, selepas Hentian Rehat dan Rawat Behrang di sini, pagi Sabtu.

Lebih menyayatkan hati, terdapat rakaman video tular dalam media sosial menunjukkan mangsa yang belum dikenal pasti identiti, berlari sebelum terbaring di tengah lebuhraya dalam keadaan terbakar.

 

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kira-kira jam 9.05 pagi, pihaknya menerima panggilan daripada pegawai PLUS yang memaklumkan memgenai kemalangan itu.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati berlakunya kemalangan maut melibatkan tiga lori yang mengakibatkan dua daripadanya terbakar.

Pemandu lori pertama dikatakan memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan kerana brek angin mengalami masalah manakala pemandu lori kedua turut berhenti di lorong kecemasan untuk membantu.

Bagaimanapun, lori tangki minyak yang dipandu mangsa terlanggar belangkang lori yang rosak lalu terbakar.

Ekoran kejadian itu, menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas sepanjang empat kilometer.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Terdahulu, laporan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyatakan pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 8.51 pagi.

Operasi pemadaman dan menyelamat melibatkan anggota bomba dari Balai Bomba Slim River, Tapah dan Bidor.

Operasi diketuai Ketua Balai Bomba Slim River, Penolong Pegawai Bomba Mohd Azrul Azuan Norman.