KUALA PILAH: Seorang pemandu lori membawa muatan telur ayam tersepit kira-kira 20 minit apabila kenderaan itu merempuh pokok di Kilometer 3, Jalan Melang-Kuala Pilah di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Ng Kia Way, 35, yang memandu bersendirian itu dalam perjalanan ke Seremban untuk menghantar bekalan telur ayam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, kemalangan berhampiran sebuah stesen minyak itu berlaku dipercayai akibat pemandu hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di bahu jalan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

“Akibat rempuhan itu, bahagian hadapan lori remuk teruk menyebabkan pemandu tersepit selama 20 minit dan terpaksa mendapat khidmat bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah bagi mengeluarkannya,” katanya ketika dihubungi hari ini

Haslah berkata, mangsa mengalami kecederaan di kaki kiri kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk menerima rawatan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59 (Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1953) dan siasatan lanjut masih diteruskan – berita harian