IPOH : Polis menahan seorang pemandu lori selepas melakukan provokasi melampau dan menuduh polis meminta wang ketika menjalankan pemeriksaan di Jalan Pasir Putih-Lahat berhampiran Bandar Lahat Baharu di sini, pada Khamis.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Kledang Emas di sini kira-kira jam 3 petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai pelbagai kesalahan lampau seperti samun dan dadah di samping sembilan kesalahan tafik sejak 2006, termasuk empat yang telah dikeluarkan waran tangkap.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terus berkongsi video seumpama itu kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Kepada sesiapa juga lah yang ditahan untuk apa juga kesalahan, supaya mereka dapat bersikap profesional dalam hal ini sebab kesalahan-kesalahan berkaitan trafik boleh diberi kemudahan untuk membuat rayuan sebagainya dan sekiranya dibawa ke mahkamah kita boleh meminta keadilan melalui proses perbicaraan.

“Tidak perlulah kita mewar-warkan, meviralkan tindakan-tindakan ini untuk mengharapkan simpati daripada rakan-rakan yang lain dan akan menyebabkan netizen di luar sana memberi komen-komen yang kita rasakan kadang-kadang dapat mengeruhkan keadaan,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media di pejabatnya di Ipoh pada Sabtu sebagai mengulas insiden yang tular di Facebook mengenai sebuah video kekecohan yang berlaku melibatkan Ketua Balai Polis Lahat, Sub Inspektor Zulkifli Md Asid.

Insiden itu kemudiannya dirakam oleh isteri lelaki berkenaan yang berusia 29 tahun yang dikatakan sedang mengandung tujuh bulan.

Asmadi berkata, pegawai polis itu telah menjalankan prosedur dengan meminta kad pengenalan dan lesen memandu tetapi lelaki berkenaan telah memberi alasan bahawa kedua-dua dokumen itu tercicir di kedai barang lusuh.

Suspek direman selama tujuh hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Kata, suspek juga telah membuat satu aduan di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan laporan di Balai Polis Bercham kerana tidak berpuas hati dengan tindakan anggota polis terbabit dan mahu perkara itu dirujuk ke Tatatertib PDRM.