Seorang pemandu bas maut manakala tujuh penumpang cedera selepas bas express itu merempuh belakang sebuah treler di KM383.2 lebuh raya PLUS, arah selatan dekat Slim River pada awal pagi Khamis.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pemandu bas, Nurul Yatimi Mohamed Noor,25, maut ditempat kejadian kerana tersepit manakala tujuh daripada 27 penumpang kenderaan itu mengalami kecederaan ringan.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana tersepit dan dibawa ke Hospital Slim River sementara empat penumpang perempuan dan tiga lelaki yang cedera ringan dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.

“Seramai enam anggota bomba dengan bantuan anggota polis serta orang awam mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

 

“Insiden kira-kira 2.51 pagi itu dipercayai berlaku ketika bas konsortium yang membawa 27 penumpang dalam perjalanan dari Hatyai, Thailand ke Johor Bahru,” katanya.

Tambah beliau 20 penumpang yang terselamat itu dibawa untuk meneruskan perjalanan ke Johor Bahru dengan menaiki bas lain.