BAGAN SERAI: Hasrat seorang lelaki memberhentikan kereta di lorong kecemasan berakhir dengan tragedi apabila dia maut selepas keretanya dirempuh lori tangki di Kilometer 182, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada sekitar jam 5 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai R Nadasingam, 45, berasal dari Kamunting, yang memandu kereta Proton Wira Aeroback, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menyatakan bahawa siasatan lanjut masih dijalankan.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Abdul Nasir Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 5.57 petang mengenai kejadian itu.

Katanya, satu pasukan penyelamat dihantar ke tempat kejadian dan ketika tiba di lokasi, mereka mendapati seorang lelaki terbaring di atas jalan raya dipercayai tercampak keluar dari keretanya.

Mangsa dipercayai memberhentikan kereta di lorong kecemasan dan dirempuh oleh sebuah lori tangki yang datang dari arah belakang keretanya yang dalam perjalanan menghala ke selatan.

“Mangsa yang berusia 45 tahun disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas paramedik dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, operasi yang diketuai oleh Penolong Bomba Kanan II, Nasir Wahab ke tamat sekitar 7 malam.