PEMANDU maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki tujuh sekeluarga terbabas di Kilometer 39.8 Lebuhraya Karak berhampiran Bukit Tinggi menghala ke Bentong, 6.30 petang hari ini.

Mangsa, Ong Boon Seng, 54, maut di lokasi kejadian manakala dua lagi ahli keluarga mangsa parah.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul, berkata, mengikut siasatan awal, pihaknya mendapati pemandu hilang kawalan dan kenderaan merempuh tebing tembok batu di jalan terbabit.

“Dua individu parah iaitu lelaki dan perempuan masing-masing berusia lingkungan 50-an dan 60-an.

“Empat lagi penumpang stabil dan kesemua penumpang itu dikejarkan ke Hospital Bentong.

“Maklumat lanjut termasuk identiti kesemua individu terbabit akan dikenal pasti selepas selesai semua proses berkaitan oleh hospital itu,” katanya pada NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya mengerahkan tujuh anggota bomba ke lokasi kejadian untuk menangani masalah berbangkit.

“Dua penumpang yang parah didapati tersepit di dalam MPV itu.

“Kita menggunakan peralatan kecemasan bagi mengeluarkan mangsa secepat mungkin,” katanya – hmetro