PONTIAN: Seorang lelaki maut apabila kenderaan dipandunya merempuh sebuah lori di Kilometer 3.6, Jalan Permas-Tanjung Bin, di sini, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh, berkata kejadian jam 9 pagi itu menyebabkan Isa Ghani, 58, yang memandu kereta PROTON Wira meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan ketika melalui selekoh di laluan itu.

“Situasi itu mengakibatkan kenderaan mangsa memasuki laluan bertentangan lalu merempuh bahagian kiri depan sebuah lori di laluan berkenaan,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Pontian itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ketika kejadian cuaca baik dan permukaan jalan kering. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya – berita harian