KAMPAR: Seorang pemandu maut apabila lori yang dipandunya terlanggar belakang sebuah treler di Kilometer 300.8 arah utara Lebuhraya Utara Selatan, dekat sini kira-kira jam 6.25 pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, mangsa Azman Ahmad, 44, yang beralamat di Kampung Surau, Baling, Kedah, meninggal dunia di tempat kejadian

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, lori yang dipandu mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, lori yang dipandu mangsa dipercayai telah melanggar belakang treler di lorong kiri jalan, menyebabkan bahagian depannya melekat pada bahagian belakang treler.

“Lori kemudiannya diseret lebih kurang 130 meter dari tempat kejadian dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini.

Menurutnya, keadaan jalan di tempat kejadian terdapat sedikit selekoh dan menuruni bukit.

Katanya, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kampar pagi ini mendapati kematian mangsa adalah disebabkan `Polytrauma Secondary to Motor Vehicle Accident’.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987