BATU PAHAT: Seorang pengurus hotel berusia 28 tahun maut apabila Perodua Myvi dipandunya terjunam cerun di Kilometer 110 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Ayer Hitam di sini, jam 5.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata mangsa dikenali sebagai S Vincent dalam perjalanan dari Yong Peng ke Ayer Hitam, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dipandu mangsa hilang kawalan lalu masuk ke lorong bertentangan dan melanggar paip air di sebelah kanan jalan.

“Akibat kemalangan itu, kereta mangsa terjunam cerun berhampiran lebuh raya. Kemungkinan mangsa mengantuk dan memandu laju menjadi punca kemalangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – berita harian