GOPENG – Seorang pemandu lori muatan jentera berat cedera parah apabila terlibat kemalangan dengan sebuah lori muatan besi di Kilometer 294.3 Lebuhraya Utara Selatan awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu mangsa berada di belakang lori muatan besi dipandu lelaki berusia 30 tahun yang dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, akibat jarak terlalu dekat mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang lori muatan besi dalam kejadian yang berlaku jam 2.30 pagi itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang patah kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapat rawatan lanjut.

“Ketika kejadian cuaca baik dan keadaan jalan lurus, dua lorong dan dua hala.

“Kemalangan itu mengakibatkan lori dipandu mangsa rosak di bahagian hadapan manakala satu lagi lori rosak di bahagian belakang,” katanya.

-Sinarharian