BEAUFORT: Pemandu Pejabat Kesihatan Beaufort maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Kilometer 3 Jalan Beaufort – Menumbok di sini, petang semalam.

Dalam nahas jam 4.45 petang, Nurisin Pahun @ Paun, 53, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, berkata mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha dalam perjalanan dari tempat kerja ke rumahnya di Kampung Lupak di sini.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan menyebabkannya terjatuh ke atas jalan raya.

“Mangsa yang parah di bahagian kepala meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Beaufort, untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – berita harian