Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seorang lelaki rentung apabila kenderaan jenis Perodua Kembara yang dipandunya terbakar dalam satu kemalangan berhampiran susur keluar tol Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Jelapang, di sini pada tengahari Jumaat.

Dalam kejadian sekitar 2 petang itu, lelaki berusia 54 tahun tersebut difahamkan cuba untuk menukar laluan sebelum dirempuh oleh bas ekpres yang menyebabkan Kembara milik mangsa terbabas dan terbakar serta-merta.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata siasatan mendapati insiden ngeri itu berlaku apabila kenderaan mangsa dipercayai hendak mengubah laluan memasuki laluan bas ekpres.

“Bas ekpres berkenaan tidak sempat membrek lalu terlanggar bahagian belakang kenderaan mangsa, dan menyebabkan kenderaan mangsa terbabas melanggar penghadang kiri jalan dan terbakar.

“Mangsa, tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan rentung bersama-sama dengan kenderaan yang dipandunya dan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Jumaat.

Menurutnya, pemandu bas ekspres tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan akibat impak rempuhan itu.

Jelas Mohd Ali, mayat mangsa telah diserahkan kepada Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi tujuan bedah siasat.

Sementara itu, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh tiba di lokasi kejadian sebaik mendapat maklumat kebakaran itu sekitar pukul 2 petang.

Ketua BBP Ipoh,Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zamri Awang Long berkata sebaik tiba di lokasi pihaknya mendapati kenderaan mangsa telah terbakar sebanyak 90 peratus.

“Pihak kami bergegas melakukan pemadaman dan mendapati seorang lelaki di tempat pemandu, di mana kami terpaksa memotong kenderaan yang terbakar itu untuk mendapatkan mayat mangsa yang rentung itu,”katanya kepada Astro Awani.

Katanya, keseluruhan operasi memakan masa lebih dua jam dan tamat sepenuhnya sekitar jam 4.20 petang.