IPOH – Kerajaan negeri memandang serius akan tingkah laku pemandu teksi yang bertindak memaki hamun pelancong kerana menggunakan khidmat Grab di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh, semalam.

Exco Kerajaan Negeri, Tan Kar Hing berkata, pihaknya memerlukan maklumat lengkap berhubung insiden itu yang telah memberi persepsi negatif pelancong terhadap negeri ini.

“Setakat ini kita tidak menerima apa-apa maklumat sikap pemandu teksi itu. Bagaimanapun, kita memandang serius dengan kualiti hospitaliti terutama barisan hadapan (frontliner) yang juga merupakan duta negeri.

“Mereka memberi persepsi awal negeri kepada pelancong. Malah kita turut memulakan kempen bagi mendidik frontliner ini untuk bekerja lebih profesional,” katanya ketika ditemui pada majlis menyambut penerbangan pertama antarabangsa AirAsia Singapura ke Ipoh di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini, hari ini.

Menurutnya, tindakan akan diambil termasuk menegur sikap pemandu teksi yang didapati telah melakukan perbuatan itu.

“Pelancong yang berhadapan dengan kejadian seumpama itu boleh membuat aduan di pejabat pelancongan atau kepada saya.

“Kalau betul berlaku, yang melanggar peraturan akan diambil tindakan manakala tingahlaku yang tidak betul akan ditegur,” katanya.

Pengalaman buruk yang dihadapi empat sekeluarga itu mula tular di laman sosial didakwa dimaki oleh pemandu teksi selain menunjukkan lucah.

Pemandu teksi terbabit dipercayai berang selepas diberitahu mereka menggunakan khidmat Grab yang mengenakan harga murah berbanding harga yang ditawarkan – sinar