BATU GAJAH – Pemandu teksi yang memandu dalam keadaan mabuk antara 10 individu ditahan sempena Op Selamat Tahun Baru Cina dijalankan di tiga lokasi di daerah Batu Gajah, semalam.

Lelaki berusia 47 tahun yang menaiki kereta jenis Proton Saga Iswara itu ditahan ketika pemeriksaan dilakukan di KM13 dan KM15 Jalan Ipoh Lumut, Pusing antara jam 10 malam hingga 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, turut ditahan dalam operasi berkenaan adalah dua lelaki atas kesalahan memiliki senjata buku lima dan ketum.

“Siasatan terhadap tiga lelaki ini masing-masing dibuat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Menurutnya, menerusi pemeriksaan saringan air kencing dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pula, tujuh lelaki ditahan selepas didapati positif methamphetamine.

“Seramai 31 individu terlibat dalam saringan ini, namun tujuh daripadanya didapati positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 320 kenderaan diperiksa melibatkan pemandu dan penunggang motosikal.

Katanya, daripada 114 saman dikeluarkan, 48 saman adalah atas kesalahan pandu laju, tiada lesen memandu (10), tidak memakai tali pinggang keledar (5), tiada lampu brek ketiga (4), lampu silau (3) dan gagal menunjukkan lesen (3).

“Bagi kesalahan tidak memakai topi keledar sebanyak dua saman, tiada cermin sisi (2) dan masing-masing satu saman bagi kesalahan tidak pasang lampu malam hari dan Lesen Kenderaan Motor (LKM),” katanya.

Ahmad Adnan berkata, operasi bersepadu ini dijalankan bagi tujuan pencegahan jenayah dan penguatkuasaa trafik termasuk lumba haram.

Menurutnya, statistik kemalangan di KM12 hingga KM26 Jalan Ipoh – Lumut tahun lalu, nencatatkan 212 kes kemalangan dengan enam kematian.

“Tahun ini, sebanyak 16 kes telah direkodkan, namun tiada kematian,” katanya.

Operasi telah disertai 16 pegawai dan 53 anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, lapan pegawai dan 28 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan seorang pegawai dan tujuh anggota AADK – sinar harian