PUCHONG: Seorang pemandu lori terselamat apabila sempat keluar dari kenderaan itu yang terbakar di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dari Plaza Tol Puchong menghala ke Bandar Kinrara, di sini, kira-kira jam 2 petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.39 petang tadi.

“Seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati bahagian kepala lori membawa muatan tanah seberat 10 tan berkenaan terbakar,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Rizal berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit bagi memadam sepenuhnya kebakaran itu.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu lori berkenaan didapati tiada berada di kawasan terbabit.

“Difahamkan pemandu itu sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari kenderaan berkenaan terbakar,” katanya – berita harian