KUALA LUMPUR: Seorang pemandu treler nyaris maut apabila kenderaan dipandunya hilang kawalan dan terbalik di terowong Lebuhraya Shah Alam (KESAS) menghala ke susur Plaza Tol Seremban, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 pagi, treler yang membawa kontena itu hilang kawalan selepas brek mengejut untuk mengelak sebuah kereta yang tiba-tiba mengubah haluan masuk ke lorong treler berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata treler itu kemudian terbalik akibat daripada berat muatan dan keadaan jalan yang berselekoh.

“Treler terbabit dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menuju ke Balakong untuk menghantar kontena ke gudang sebuah syarikat jualan alat pertukangan.

“Pemandu treler terselamat, cuma mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) oleh ambulans,” katanya ketika dihubungi.

Zulkefly berkata, ketika kejadian cuaca dalam keadaan baik dan permukaan jalan kering manakala siasatan dibuat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – berita harian