TAIPING – Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan selepas kakinya tersepit akibat kemalangan di Jalan Kuala Kangsar, dekat Kampung Jelutong, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Hasna Rashid berkata, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 7.58 malam.

Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori pikap yang melanggar bahagian belakang sebuah van yang membelok ke kanan.

“Akibat pelanggaran tersebut, pemandu lori tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan di bahagian kaki,” katanya.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba segera mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat.

“Selepas berjaya dikeluarkan, mangsa diserahkan kepada pihak ambulans dan dibawa ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius dan operasi menyelamat selesai kira-kira jam 8.37 malam,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

-Sinarharian