PETALING JAYA: Tindakan seorang pemandu treler yang mengubah laluan secara tiba-tiba menyebabkan penunggang motosikal warga Indonesia maut, manakala anak perempuannya cedera dalam kemalangan di Kilometer 2.0 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menghala Kepong, di sini, semalam.

Dalam nahas jam 4.10 petang itu, mangsa, Budi Arifin, 32, disahkan maut di lokasi kejadian, manakala anaknya, Siti Aishah berusia lapan tahun, patah tangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu treler berusia 54 tahun yang mengubah laluan ke kanan secara tiba-tiba.

“Tindakan ini menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal Honda RS 150 tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tengah tayar treler berkenaan yang membawa muatan tanah merah.

“Mangsa yang parah pada kepala disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Azman berkata, anak perempuan mangsa yang cedera pada tangan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, untuk rawatan lanjut.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik PPUM untuk bedah siasat. Waris mangsa juga sudah dihubungi bagi tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.