GERIK– Seorang pemandu treler maut di tempat kejadian setelah kenderaan yang dinaikinya terbabas dan terbalik di Kilometer (Km) 31 jalan raya Timur-Barat di sini pada Rabu.

Menurut jurucakap bomba, sepasukan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik bergegas ke tempat kejadian, apabila menerima panggilan berkenaan kejadian itu pada jam 9.08 pagi.

“Kemalangan melibatkan sebuah lori treler yang terbabas dan terbalik, seorang lelaki dalam lingkungan 50 tahun tersepit di tempat pemandu.

“Mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh pihak perubatan hospital, anggota bomba menggunakan peralatan “rescue tool” dan pengusung untuk mengeluarkan mangsa,”katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada jam 12.10 tengahari.