BINTULU: Seorang lelaki maut selepas treler membawa muatan batu yang dipandunya terbabas di kawasan bulatan Taman Perindustrian Samalaju, petang semalam.

Mangsa, Usman Marading, 53, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan badan selepas tersepit di dalam treler berkenaan.

Nahas kira-kira jam 5.30 petang itu berlaku selepas treler yang dipandu mangsa terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.34 petang.

Beliau berkata, tujuh anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Winston Tan, bergegas ke lokasi untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Anggota kami menggunakan peralatan Rescue Tools dan Air Lifting bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di celah kenderaan. Sejurus dikeluarkan, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk dibedah siasat,” katanya.