KUALA LUMPUR: Pemandu treler yang terbabit kemalangan dengan beberapa kenderaan menyebabkan empat maut di Kilometer 445 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Rawang, Selangor, semalam, didapati negatif dadah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, pihaknya membawa pemandu berusia 45 tahun itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk diambil keterangan.

“Dia diambil keterangan di IPD sebaik dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh selepas menerima rawatan atas kecederaan dialami akibat kemalangan itu.

“Hasil ujian awal saringan air kencing lelaki berkenaan mendapati dia negatif dadah.

“Lelaki itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas prosedur siasatan selesai. Bagaimanapun, siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

NSTP melaporkan empat individu maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Mereka yang maut adalah pemandu MPV Toyota Vellfire, pemandu MPV Alza dan dua penumpang kenderaannya iaitu Noorakhirludin Alam Mohamad Noor, 48; Nur Fitrah Rosman, 24, Nurbaya Mohd Zaki, 24 dan Mohammad Hafiz Shahrul Jefri Din, 24. Semua disahkan maut di lokasi kejadian.

Selain itu, penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, Ezzudin Noorakhirludin Alam, 10, masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu adalah treler tanpa muatan, kereta Perodua Myvi, kereta Nissan Almera, MPV Perodua Alza, MPV Toyota Vellfire, kereta BMW dan bas ekspres – berita harian