TEMERLOH: Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan tiga kematian, di Mentakab Ahad lepas.

A Kumar, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz dalam bahasa Tamil.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu semasa memandu treler nombor pendaftaran BPB5411 pada pukul 9.30 pagi, 24 Jun lepas di Kilometer 149 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di sini.

Perbuatan tertuduh yang beralamat di Sungai Gadut, Negeri Sembilan itu didakwa menyebabkan kematian dua beradik Khasrul Haizal Mohd Yusof, 20, dan Khasrul Ikwan, 18, serta Chua Jyh Shyong, 37.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Peguam Tan Yu Tang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon jaminan RM10,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan kerana tertuduh menanggung isteri dan ibu yang tidak bekerja.

“Tertuduh bekerja sebagai pemandu dengan pendapatan sebanyak RM2,500 sebulan,” katanya.

Nordiana membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Beliau juga menetapkan 11 Julai ini bagi sebutan semula untuk tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Marina Hashim.

Pada Ahad lepas, media melaporkan tiga maut dalam kemalangan selepas sebuah treler merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Exora dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Khasrul Haizal dan Khasrul Ikhwan semasa itu menaiki Exora bersama enam lagi anggota keluarga mereka untuk memancing di Empangan Klau, Raub.

Chua yang merupakan pemilik syarikat teknologi maklumat (IT) dan memandu Toyota Hilux pada masa itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. – BERNAMA