KUANTAN: Seorang pemandu van didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menyebarkan berita palsu sehingga menyebabkan rusuhan di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) pada 11 Julai lalu.

Tertuduh, Mohd Shaiful Adhar Mohd Shukor, 30, dari Taman Ria II, di sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mohd Shaiful Adhar dituduh memuat naik catatan melalui laman sosial Facebook, iaitu ‘Seorang pemandu lori Melayu dipercayai dipukul di hadapan Gate 1 MCKIP. Pemandu lori tersebut dipukul dengan besi. Mangsa dipercayai berasal dari FELDA Cheneh. Punca pukul beramai-ramai orang China pada pemandu tersebut masih belum dikenal pasti, dengar mangsa dalam kritikal. Orang ramai yang mengetahui maklumat ini boleh kongsi kepada kami, maklumat dirahsiakan. Jaga keselamatan anda. Maklumat benar boleh dikongsikan. Majoriti pekerja China yang bekerja di situ adalah banduan.’

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.07 malam 10 Julai lalu, dan maklumat palsu berkenaan disebar untuk menyakitkan atau mengganggu orang lain.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memuat naik satu lagi catatan, iaitu ‘Berbalik pada cerita semalam, dapat info yang diterima dari sumber yang boleh dipercayai bangsa dari negara China yang bekerja di MCKIP Gebeng, Kuantan telah mati ditetak oleh….main-main lagi dengan geng-geng Melayu lagi-lagi drebar lori..tu makan dia.’

Tertuduh yang memakai baju-T berwarna hitam didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.51 malam 11 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3), iaitu boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haryati Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Haryati menawarkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan, namun tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan baru dua minggu bekerja sebagai pemandu van dan perlu menyara ibu serta adiknya.

Siti Aminah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, dan menetapkan tarikh 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam – berita harian