SUNGAI SIPUT- Kebakaran kawasan hutan berkeluasan 40 ekar di puncak bukit berhampiran perkampungan Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Legap, terkawal dengan bantuan daripada pelbagai agensi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak (JBPM), Mohamad Yunus Abu, sehingga kini pemantauan masih dilakukan dengan kerjasama renjer hutan dan syarikat balak.

“Keadaan masih terkawal dengan hanya menampakkan asap sahaja, jentera pemadam bomba tidak dapat digunakan berikutan jalan yang berbukit.

“Kita menggunakan kenderaan pacuan empat roda 4×4 sahaja dan dua buah pam angkut.

“Jentera berat yang digunakan merupakan bantuan daripada syarikat balak, ia bagi membolehkan operasi fire brake atau hentikan api dari merebak ke kawasan lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ujarnya lagi seramai 20 orang anggota dari pihak bomba dan agensi lain terlibat dan operasi memadam kebakaran masih diteruskan.

Semalam, pihak bomba menerima panggilan mengenai kebakaran terbaru di Perkampungan Orang Asli RPS Pos Legap, kira-kira jam 6.30 petang.

Bagaimanapun operasi pemantauan ke lokasi ditangguhkan dan bersambung hari ini.