IPOH: Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (PEMATAP) memandang serius tuduhan atau fitnah yang dilemparkan oleh seorang awam ke atas Pondok Tahfiz As Sharif, Batu Gajah, sebagai kluster COVID-19.

Pengerusi PEMATAP, Mohd Azlan Suhaimi dalam kenyataan media pada Ahad berkata, tuduhan itu bukan sahaja boleh mencetuskan kebimbangan masyarakat setempat, tetapi mengelirukan sehingga boleh menjejaskan nama baik maahad tahfiz tersebut.

Malah katanya, ia melibatkan seluruh maahad tahfiz di negeri Perak khususnya dan negara amnya.

“Berhubung isu viral seorang awam yang membuat tuduhan kononnya seorang pelajar yang dilaporkan positif wabak Coronavirus (COVID-19) berpunca dari Pondok Tahfiz As Sharif, Batu Gajah.

“Kemudian dinafikan dan laporan polis telah dibuat oleh Pengetua Pondok, Ustaz Azizul Yahya, Pondok tahfiz itu adalah salah sebuah institusi tahfiz swasta yang dalam proses mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk).

“Sikap tidak bertanggungjawab ini amat dikesali dan sewajarnya pihak berkenaan insaf dan memohon kemaafan secara terbuka,” katanya.

Tegasnya, kesemua maahad tahfiz di Perak yang berjumlah 116 buah telah mematuhi segala arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari pihak kerajaan Persekutuan dan juga JAIPk.

Mohd Azlan berkata, sehingga kini, tidak ada sebuah maahad tahfiz yang beroperasi dan sebahagian besar premis maahad tahfiz juga telah melalui proses nyah kuman.

“Dalam tempoh PKP ini, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan arahan wJib pada semua maahad tahfiz seluruh negara sama ada kakitangan, pelajar dan guru-guru untuk menjalani saringan COVID-19.

“Sehingga kini warga maahad tahfiz di negeri Perak telah menjalani saringan COVID-19 sekurang-kurangnya satu kali dan ada yang telah memasuki saringan kali ke-2,” katanya.

Pada Sabtu, media melaporkan satu kes terbaharu melibatkan positif Covid-19 di Perak dikesan di Mukim Sungai Terap, Batu Gajah, Perak.

Perkara itu dimaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Perak melalui hantaran di Facebook milik jabatan itu.

Menurutnya, kes tersebut dikesan susulan daripada aktiviti saringan bersasar bagi pelajar tahfiz.

Jelasnya, seramai 42 orang kontak rapat kepada kes terbabit telah dikenal pasti dan sebahagian telah dihantar ke pusat kuarantin.

Menurut kenyataan itu, pesakit yang positif dan seorang kontak rapat telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kerana bergejala manakala 41 orang kontak rapat yang lain telah diasingkan di pusat kuarantin.